TUARAN: Seramai 12 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) cedera ringan selepas bas dinaiki mereka terbabas ke lereng bukit di Jalan Tenghilan, di sini, semalam.
Turut cedera dalam nahas kira-kira jam 7.20 malam itu ialah pemandu bas terbabit yang gagal mengawal kenderaan itu ketika dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tenghilan, di sini.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran dikejarkan ke lokasi jam 7.26 malam dan tiba jam 7.40 malam.
“Setibanya di lokasi, semua 13 mangsa termasuk 12 pelajar sudah dikeluarkan oleh orang awam.
“Mereka hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Tuaran dengan ambulans, kenderaan Perkhidmatan Penyelamat dan Paramedik (EMRS) dan kenderaan awam,” katanya.