IPOH: Tiga maut dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di Puncak Jelapang Maju, Jalan Ipoh-Lumut, di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, dua lelaki meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan. Nahas membabitkan empat kenderaan jenis Toyota Corolla, Perodua Viva, Toyota Vios dan sebuah lori satu tan.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kemalangan itu jam 8.08 malam.
“Dua lelaki India yang menaiki Toyota Corolla meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit, manakala penumpang belakang kenderaan itu cedera ringan.
“Seorang lelaki Melayu yang menaiki Viva cedera parah dan hantar ke hospital untuk rawatan yang kemudian disahkan meninggal dunia.
“Maklumat awal yang diperoleh mendapati Toyota Corolla yang datang dari arah Ipoh menuju Lumut itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan sebelum berlanggar dengan Viva,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Beliau berkata, berikutan itu sebuah kereta Vios gagal mengelak turut merempuh belakang kereta Viva terbabit dan sebuah lori satu tan pula terbabas ke bahu jalan akibat mengelak, bagaimanapun kedua-dua pemandu kenderaan itu terselamat.
Katanya, semua mangsa yang maut dan tersepit berjaya dikeluarkan dan serahkan kepada polis manakala operasi menyelamat tamat kira-kira jam 11.03 malam.