KUALA LUMPUR: Seorang wanita kurang siuman mencetuskan suasana panik selepas dipercayai membakar sampah dalam rumahnya di tingkat 16, Rumah Pangsa Sri Tioman, Taman Melati, di sini, semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 6.35 petang itu, wanita berusia sekitar 50-an itu, dilaporkan membawa sejumlah sampah dari tingkat bawah ke kediamannya sebelum bertindak membakar longgokan sampah yang ada dalam rumah.
Ketua Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saidani, berkata pihaknya mengejarkan lima jentera dengan kekuatan 36 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan penduduk.
“Pihak bomba mengambil masa hampir sejam bagi mengawal api dari rumah berkenaan yang berkeluasan 650 kaki persegi dari merebak ke unit kediaman bersebelahan.
“Sehingga jam 8 malam tadi, api bagaimanapun dapat dipadamkan meskipun menghadapi kesukaran akibat tekanan air rendah,” katanya ketika dihubungi BH.
Samsol berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan penuh dari Unit Forensik Bomba, untuk mengenalpasti punca sebenar kebakaran. “Wanita terbabit dan suaminya dilaporkan selamat selepas mereka didapati keluar dari kediaman apabila kebakaran berlaku,” katanya.
Difahamkan semasa kejadian sebahagian besar penduduk rumah pangsa itu keluar kerana bimbang api merebak ke kediaman mereka.