KUALA LUMPUR: Lima sekeluarga pelancong warga Syria yang dicari polis selepas kakitangan sebuah hotel di Port Dickson terlihat objek seperti bom tangan di bawah katil ketika mereka menginap semalam ditahan di Cameron Highlands, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menerusi laman Twitternya sebentar tadi, memberitahu kelima-lima mereka ditahan oleh anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman.
Bagaimanapun, katanya pemeriksaan mendapati objek yang dikatakan bom tangan itu hanyalah pemetik api berbentuk bom tangan yang dibeli ketika mereka melawat Muzium Angkatan Tentera di Port Dickson.
“Tahniah STAFFOC @PDRMsia tangkap 5 warga Syria di Cameron Highlands. Rampas lighter (replica grenade) yang dilihat oleh staf hotel di PD semalam.”@PDRMsia 5 orang Syria ini telah beli replica hand granade ini di kawasan Muzium Angkatan Tentera di PD semasa melawat Muzium ATM,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, lelaki Syria berusia 30-an bersama keluarganya yang menginap di sebuah bilik hotel berkenaan, adalah pemilik bom tangan yang ditinggalkan di dalam sebuah beg di bawah katil.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Adzli Abu Shah, berkata perkara itu belum dapat disahkan sehingga lelaki itu berjaya dikesan.