KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan awam yang mengaku salah menendang wanita tanpa sebab dalam terowong di ibu negara sehingga menjadi viral, dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid mengenakan hukuman itu terhadap Marmi Zabrin Mian, 33, yang berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan iaitu pada kelmarin.
Marmi Zabrin mengaku menendang mangsa sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan di terowong antara Jalan Cenderasari ke bangunan Dayabumi pada jam 5.30 petang Selasa lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh tidak diwakili peguam manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar bertindak bagi pihak pendakwaan.