KOTA BHARU – Kes pecah rumah di jajahan Kota Bharu mencatat peningkatan kepada 26 kes sejak 1 Jan hingga semalam berbanding 11 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata masyarakat perlu lebih prihatin dengan memantau keselamatan kawasan kejiranan masing-masing bagi mengurangkan kes pecah rumah itu.
“Jiran terdekat perlu mengambil tindakan segera menghubungi polis sekiranya terdengar bunyi atau melihat sesuatu yang mencurigakan dari rumah jiran mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Baharom berkata dalam kes terbaharu semalam, seorang lelaki ditahan selepas disyaki memecah masuk tingkat atas sebuah rumah yang disewa oleh seorang doktor di Kubang Kerian.
Dalam kejadian pukul 4.15 pagi itu, suspek dipercayai mengumpil jeriji pintu depan rumah yang ditinggalkan penyewa kerana sedang bercuti sebelum mengambil beberapa barangan berharga seperti satu unit PlayStation, sebuah komputer riba dan sebuah telefon bimbit, yang dianggarkan bernilai RM4,000.
“Suspek tidak sempat melarikan diri dan berjaya ditangkap polis selepas polis menerima panggilan daripada jiran mangsa yang juga tuan rumah itu yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya.
Baharom berkata pihaknya turut menemui sebuah beg berisi satu unit pemotong wayar, pemutar skru, dua batang besi pembuka tayar dan satu batang besi bermuncung tirus yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah terbabit.
Katanya hasil siasatan mendapati suspek yang berumur 31 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi dipercayai seorang penagih dadah.
“Kita amat mengalu-alukan tindakan pantas seperti yang dilakukan pengadu ini sehingga pihak polis berjaya menangkap penjenayah dengan lebih cepat,” katanya. -Bernama