KUCHING 17 Jan. – Berang diminta membayar caj penuh bagi membaiki skrin telefon bimbitnya yang pecah kerana tidak termasuk dalam jaminan, seorang pelanggan mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan dan mencederakan seorang pekerja kedai semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 malam itu, pelanggan lelaki tersebut ke sebuah pasar raya di sini bagi membaiki telefon bimbitnya yang pecah.
Walau bagaimanapun katanya, setelah seorang pekerja kedai menjelaskan bahawa caj pembaikan sebanyak RM130 kerana tidak termasuk dalam syarat jaminan, suspek mengoyakkan kertas jaminan.
“Dia hanya membayar RM50 dan menyatakan hanya akan membayar bakinya selepas siap dibaiki.
“Namun pekedai meminta bayaran penuh membuatkan suspek tidak puas hati lalu menyepak meja kaunter dan berkata ‘you tahu kes di Low Yat’. Dia turut menumbuk salah seorang pekerja wanita di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pekerja wanita berusia 20-an itu mengalami pendarahan di bahagian hidung dan patah sebatang gigi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ugutan jenayah serta kecederaan.
“Kes ini adalah kes terpencil dan kami menyeru orang ramai bertenang dan tidak mendengar atau menyebarkan fakta yang tidak benar,” tegasnya.
Roslan berkata, identiti suspek telah dikenal pasti dan pihak polis sedang mengesannya. – Utusan