Setiu – Seorang lelaki berusia 37 tahun yang bekerja sebagai tukang cat ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan di sebuah rumah di Kampung Jelapang, Sungai Tong, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, mangsa ditemui bapa saudaranya dalam keadaan terbaring di hadapan pintu rumah dan mereka tinggal bersama kerana mangsa bekerja dengan bapa saudaranya itu.
“Terdahulu, bapa saudara mangsa yang juga berusia 37 tahun telah keluar rumah lebih kurang jam 11.30 malam dua hari lepas untuk pergi ke Gong Badak, Kuala Nerus bagi tujuan melawat keluarganya. Semasa keluar, mangsa berada di rumah tersebut.
“Pada 19 September, lebih kurang jam 4.30 pagi apabila bapa saudaranya pulang ke rumah, dia dapati pintu rumah terbuka. Apabila naik ke tangga hadapan rumah, dia melihat anak saudaranya(mangsa) dalam keadaan terbaring hadapan pintu rumah.
“Setelah diperiksa didapati ada kesan darah sekitar kawasan kepala mangsa. Bapa saudaranya menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian berlaku pada mangsa yang mula tinggal di rumah tersebut sejak 9 September lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Wan Abd Aziz, satu Pasukan Siasatan bersama Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah IPK Terengganu telah bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan dan pemeriksaan telah dilakukan di tempat kejadian yang merupakan sebuah rumah kampung.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa yang berasal dari Kampung Gong Kepas Dalam, Kampung Raja, Besut ini dalam kedaan terbaring mengiring ke kanan dan terdapat kesan darah pada bahagian sekitar kepala.
“Pemeriksaan lanjut bersama Pakar Patologi dari Hospital Sultanah NurZahirah, Kuala Terengganu menemui beberapa kesan tembakan pada leher, lengan kiri, punggung, peha kiri, kaki kiri, dada kanan dan dada kiri mangsa.
“Turut dijumpai anak peluru di tepi dinding dan pintu dapur di dalam rumah serta kelongsong peluru di halaman hadapan rumah. Dipercayai dua pucuk pistol berlainan digunakan dalam kejadian ini,” ujarnya.
Kata Wan Abd Aziz lagi, hasil semakan rekod mendapati mangsa mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau termasuklah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.
Siasatan kini masih diteruskan bagi mengesan pembunuh serta mengenalpasti motif kejadian dan polis memohon kerjasama orang ramai untuk memberi maklumat jika ada terlihat individu tidak dikenali berada di kawasan itu pada hari kejadian atau kenderaan yang digunakan. TV14