Kota Bharu – Seorang remaja dihukum penjara 11 tahun dan dikenakan enam sebatan kerana kesalahan merogol kekasih bawah umur, di mahkamah seksyen, di sini, semalam.
Mohamad Shahrul Rizwan Amran, 19, dihukum Hakim, Nazri Ismail selepas menukar pengakuan daripada tidak mengaku kepada mengaku bersalah ketika prosiding perbicaraan.
Tertuduh mengaku merogol mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Lorong Pagar Jawa, Jalan Pengkalan Chepa, Simpang 3, di sini, pada jam 11 pagi, 5 Ogos tahun lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam awam memohon hukuman diringankan dan dikecualikan daripada sebatan dengan mengambil kira usia yang masih muda.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Hajar Alias, bagaimanapun membantah alasan usia muda dan mencadangkan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh sendiri serta orang awam.
Hukuman yang berat akan memberi gambaran kepada umum bahawa mahkamah mengambil serius kesalahan yang dilakukan ini dan mencegah daripada berulang,” katanya.
“Kes-kes seumpama ini semakin berleluasa terutamanya di negeri Kelantan. -TV14