GEORGETOWN: Ahli Parlimen DAP Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, sebentar tadi bagi membantu siasatan berhubung tindakannya memuat naik kenyataan di akaun Twitter peribadinya yang didakwa menyinggung sensitiviti umat Islam.
Jeff Ooi yang mengenakan pakaian serba biru itu tiba bersama peguamnya, RSN Rayer, bagi sesi merekod percakapan berhubung, pada jam 2.40 petang tadi.
Beliau sempat melambai ke arah kumpulan wartawan sebelum masuk ke IPD Timur Laut bagi memulakan proses rakaman percakapan.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menasihati Jeff Ooi supaya menyerah diri kepada polis bagi membantu siasatan kes menghina Islam berikutan tindakannya memuat naik kenyataan mempersenda kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, di media sosial.
Selain itu, polis turut menahan tiga lelaki, termasuk seorang bekas wartawan di lokasi berasingan, bagi membantu siasatan kes sama.