Melaka: Pelancong wanita dari Indonesia dijatuhi hukuman sebulan penjara dan denda RM30,000 oleh Mahkah Sesyen Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku salah menjalankan perkhidmatan rawatan pendakap gigi tidak berdaftar awal bulan ini.
Pesalah terbabit Susilawati, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, Susilawati didakwa menyediakan klinik pergigian swasta dengan cara memberi rawatan pendakap gigi tidak berdaftar di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1988 (Akta 586) kepada Nurul Farahin Rahim, 25, pada 3.35 petang di Pangsapuri Peringgit, Jalan Pantai Peringhit, di sini, 5 September lalu.
Justeru, dia disabit melakukan kesalahan mengikut peruntukan subseksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM300,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-dua sekali.
Tertuduh diwakili Peguambela Suhaidi Zakaria merayu hukuan ringan dikenakan namun Timbalan Pendakwaraya Kementerian Kesihatan Malaysia Nurul Khairiyah Samsudin memohon hukiman berat dikenakan kerana keberanian Susilawati membahayakan kesihatan orang awam.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Ahmad Sazali kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan dan denda RM30,000 atau 10 bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.