Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Lelaki Didenda RM30,000 Bela Kongkang Tanpa Permit

$
0
0

03-slow-loris-cute-animals-that-kill

 

Kuala Terengganu – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengenakan hukuman denda RM30,000 terhadap seorang penganggur selepas dia mengaku salah atas dua pertuduhan menyimpan tiga kongkang tanpa permit.

Selain itu, tertuduh, Muhammad Aiman Nor Azizan, 22, turut berdepan hukuman penjara 17 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Rofiah Mohamad mengenakan hukuman itu selepas Muhammad Aiman mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Aiman didakwa menyimpan seekor kongkang hidup tanpa permit khas iaitu sejenis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan di dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Dia mengaku salah melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta Perodua MyVi berwarna hitam di kawasan berhampiran sebuah kedai serbaneka di Bukit Payong, Marang, jam 9.10 malam pada 13 Mei 2015.

Muhammad Aiman turut berdepan satu lagi pertuduhan mengikut seksyen sama apabila menyimpan dua kongkang hidup tidak matang tanpa permit khas di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan pertama, Rofiah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau lima bulan penjara, manakala denda RM20,000 atau 12 bulan penjara bagi kesalahan kedua jika dia gagal menjelaskan denda berkenaan. Bagaimanapun, Muhammad Aiman dibebaskan selepas menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Ayub Daud, manakala Muhammad Aiman diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082