Kajang – Polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Tok Belagak’, selepas dipercayai dalang sindiket penipuan pelaburan emas, kelmarin.
Suspek berusia 51 tahun itu yang juga pengerusi syarikat pelaburan berkenaan ditahan di sini, selepas polis menerima laporan daripada seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit dengan nilai kerugian RM80,900.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata pengadu mendakwa mengetahui mengenai pelaburan emas itu melalui laman sosial Facebook pada Ogos 2014 dan diperkenalkan kepada syarikat milik suspek oleh seorang ejen.
“Mangsa yang berminat dengan pelaburan itu kemudian menyerahkan wang pelaburan berjumlah RM80,900.
Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, mangsa tidak mendapat emas seperti nilai yang dilaburkan dalam tempoh yang dijanjikan.
“Syarikat suspek juga dikatakan ada mengeluarkan memo perjanjian kononnya untuk memulangkan semula wang pelaburan terbabit, namun suspek gagal berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Othman berkata, suspek direman hingga Khamis ini bagi membantu siasatan dan setakat ini lima laporan polis diterima di Kajang yang mengaitkan suspek dengan kes berkenaan.