Kota Kinabalu – Dua kanak-kanak dipercayai dipergunakan tiga pengedar dadah sebagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa daripada menahan mereka bersama 503.56 gram dadah jenis syabu bernilai RM65,000.
Ketua Polis Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.30 malam Isnin di Plaza University di Jalan UMS dekat sini ketika ketiga-tiga lelaki itu hendak bertemu pelanggan untuk menjual dadah.
“Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah membuat pemerhatian di tempat letak kereta plaza tersebut dan mendapati dua lelaki turun dari sebuah kereta Perodua Viva.
“Semasa pemandu kereta membuat pusingan di plaza berkenaan untuk mengambil semula dua lelaki itu, dia (pemandu) telah ditahan dan didapati di dalam kereta itu ada dua kanak-kanak.
“Kita percaya ini adalah taktik suspek membawa kanak-kanak bersama untuk mengaburi pihak berkuasa seolah-olah kereta itu adalah kereta keluarga,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan IPD Kota Kinabalu di sini pada Selasa.
Menurut Chandra, kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur 3 tahun itu, yang dipercayai anak pemandu berumur 33 tahun, kini dalam penjagaan polis.
Beliau berkata pemandu itu bekerja sebagai buruh kontraktor, manakala dua lelaki lain masing-masing berumur 38 dan 33 tahun tidak bekerja.
Katanya, pemandu itu pernah ditahan kerana mengambil dadah, manakala suspek berumur 38 tahun itu pernah ditahan kerana memiliki dadah.
Chandra tidak menolak kemungkinan suspek, yang kesemuanya berasal dari Sepanggar dekat sini, terlibat dengan satu sindiket dadah yang aktif di sekitar Kota Kinabalu sejak sebulan lalu.
Beliau juga berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.