PETALING JAYA: Seorang anggota polis cedera di paha selepas terkena tembakan dilepaskan penjenayah di Persiaran Industri Bandar Sri Damansara PJU 9, di sini, petang tadi.
Difahamkan, ketika kejadian jam 6.30 petang, anggota berpangkat Lans Koperal itu melakukan rondaan cegah jenayah, menaiki kereta peronda sebelum terserempak sebuah PERODUA Myvi berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.
Sumber berkata, kereta yang dipercayai dinaiki tiga lelaki warga Afrika itu kemudian cuba melarikan diri dan dikejar anggota berkenaan. Seorang suspek kemudian dikatakan melepaskan tembakan ke arah anggota terbabit dan mengenai paha kirinya.
Difahamkan, semua suspek melarikan diri selepas kejadian dan meninggalkan kereta berhampiran lampu isyarat jalan berkenaan. “Anggota yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil,”katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Mohd Ali Thamby ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.