BUKIT MERTAJAM 3 Feb. – Sikap prihatin seorang jiran berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang menjadi mangsa dera ibu kandungnya di perumahan setinggan di Kampung Manis dekat Perai, di sini semalam.
Jirannya yang curiga mendengar suara tangisan kanak-kanak dari rumah milik kenalan ibu mangsa yang didiami mereka sejak dua bulan lalu membuat laporan polis di Balai Polis Perai di sini.
Difahamkan mangsa dan ibunya yang juga penagih dadah mendiami rumah kayu yang hanya mempunyai sebuah bilik tidur, dapur bersaiz kecil dan satu bilik air itu sejak dua bulan lalu selepas bapanya di hukum penjara akibat kesalahan dadah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, polis yang membuat pemeriksaan di rumah itu menemukan seorang kanak-kanak yang mengalamai kecederaan di seluruh badan.
Menurutnya, hasil siasatan ke atas ibu mangsa yang berusia 41 tahun, dia mendakwa memukul mangsa disebabkan anaknya itu enggan membaca buku dan lambat mengeja.
“Melalui maklumat jiran, wanita itu didakwa akan bertindak luar kawalan setiap kali dia berada di bawah pengaruh dadah.
“Ketika ditemui, kanak-kanak berada dalam keadaan tidak bermaya dan mengalami beberapa kecederaan pada bahagian belakang badan, lebam pada kelopak mata kiri, dua batang gigi tengah retak dan longgar serta terdapat kesan calar pada ibu jari kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, kanak-kanak malang itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil manakala ibunya ditahan untuk siasatan lanjut.
Jelas Rusli, suspek yang tidak bekerja itu kini direman selama tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
Perintah tahanan reman ke atas wanita itu dikeluarkan Majistret Diannee Ningrad Nor Azahar di Mahkamah Bukit Mertajam di sini hari ini.