SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui mati dengan mayatnya berkeadaan reput, selepas dipercayai menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya di Flat Paya Nahu di sini, pagi tadi.
Lebih menyayat hati, mangsa dipercayai meninggal dunia pada 9 November lalu dan mayatnya disembunyikan dalam tong yang disimpan di sebuah bilik di rumah berkenaan. Kakak mangsa yang berusia empat tahun, ditemui dengan pelbagai kecederaan dan lebam, dipercayai turut menjadi mangsa dera.
Kejadian itu terbongkar selepas berlaku pergaduhan antara ibu mangsa yang berusia 26 tahun dengan suspek, 34, kira-kira jam 1.20 pagi tadi hingga memaksa campur tangan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, mengesahkan kejadian dan sebelum sepasukan anggota dihantar lokasi untuk menjalankan siasatan.
Beliau berkata, hasil maklumat daripada ibu mangsa, anggota yang melakukan pemeriksaan menemui mayat dibungkus dengan beberapa helai kain disimpan dalam tong ikan yang ditutup rapi di rumah terbabit.
“Wanita itu dan teman teman lelakinya yang masing-masing disahkan positif dadah, ditahan untuk siasatan lanjut. “Polis kini dalam proses mendapatkan perintah tahanan reman ke kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Sungai Petani.
“Sementara itu, kakak mangsa yang cedera di muka dan lebam di seluruh badan, dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya.
Md Zukir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 325 Kanun Keseksaan.