KOTA BHARU: Seorang pelajar GiatMARA Selising cedera parah di pergelangan tangan dan patah tulang siku selepas ditetak dengan pedang oleh sekumpulan tiga lelaki di Kampung Panggong, Pasir Puteh, petang semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail, berkata dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa berusia 18 tahun bersama seorang rakan keluar dari rumahnya sejauh 100 meter sebelum ditahan sekumpulan lelaki di tepi jalan.
“Ketika kejadian mangsa dikepung tiga lelaki bersenjata di pinggir jalan sebelum diserang manakala rakan yang bersamanya itu melarikan diri. “Berlaku pergelutan ketika kejadian dan mangsa cedera serius di bahagian pergelangan tangan dan patah tulang siku kiri dan kanan kerana mangsa mempertahankan diri.
“Susulan kejadian itu, polis menahan empat suspek berusia 17 hingga 20 tahun dan memanggil beberapa saksi kejadian untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.
Mengulas lanjut, Ab Rahman berkata, pihaknya percaya kejadian itu mempunyai kaitan pergaduhan lampau berikutan mangsa turut mengenali seorang daripada suspek yang ditahan.
Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.