KUALA LUMPUR: Tiga pekerja hotel nyaris maut selepas mereka terperangkap dalam kebakaran membabitkan tingkat satu sebuah hotel di Jalan Raja Laut di sini, malam tadi.
Dalam kebakaran dilaporkan pada jam 11.28 malam itu, pekerja terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu berjaya diselamatkan.
Menurut Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, seramai 31 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Titiwangsa, Hang Tuah dan Sentul dikerahkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.
“Ketika pasukan bomba sampai, api sudah marak dan dilaporkan ada mangsa terperangkap di tingkat satu hotel terbabit. “Semua mangsa dapat diselamatkan dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan namun seorang mangsa lelaki sesak nafas,” katanya.
Katanya, mangsa dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan. Beliau berkata, kerja memadam kebakaran sudah selesai dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran.