DUNGUN 7 Feb. – Dua daripada tiga lelaki yang cuba menyerang anggota polis semasa memecah masuk sebuah rumah penduduk di Kampung Batu Tiong di sini cedera ditembak pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 pagi itu, salah seorang suspek patah tulang di bahagian kaki, seorang lagi cedera ringan di bahagian punggung akibat terkena geselan peluru manakala seorang lagi lolos.
Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Zailani Yaacob berkata, kegiatan suspek dapat dihidu sepasukan polis yang sedang membuat rondaan dan mendapat maklumat dari bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di rumah itu menemukan kesan umpilan di bahagian pintu.
“Pihak polis kemudian mengarahkan sesiapa yang berada di dalam rumah supaya keluar dan tiba-tiba sahaja tiga suspek itu keluar serta terus menyerang polis dengan salah seorang daripadanya bersenjatakan kayu.
“Satu das tembakan dilepaskan dan didapati telah terkena di bahagian kaki salah seorang suspek dan tembakan itu turut berselisih dengan seorang lagi suspek tetapi dia sempat melarikan diri,” katanya di sini semalam.
Menurut Ahmad Zailani, lelaki itu bagaimanapun berjaya ditangkap kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi.
Ujarnya, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 18 tahun itu dihantar ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.
“Selepas dirawat di Hospital Dungun, suspek yang cedera ringan di punggung dihantar ke IPD dan ditahan reman untuk siasatan lanjut manakala suspek yang terkena tembakan di kaki dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Polis merampas satu beg tangan, empat pemacu pen, power bank, buku bank, jam tangan dan beberapa lagi barang,” katanya.
Tambah Ahmad Zailani, polis kini giat memburu suspek yang masih bebas.