IPOH 7 Feb. – Polis telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan peruntukan sedia ada berikutan pendedahan mengenai kewujudan pengeluaran ‘surat kuning’ yang didakwa sebagai ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, tindakan pihak terbabit mengurniakan bintang serta darjah kebesaran palsu dengan menggunakan nama istana merupakan satu penipuan.
“Laporan akhbar (hari ini) merujuk bahawa penerima ‘surat kuning’ adalah kebal daripada tindakan undang-undang. Pada pandangan polis, ia tidak benar dan ini merupakan satu penipuan.
“Mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan memperdaya orang lain, boleh dihukum penjara dan denda di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hasnan meminta orang ramai supaya tidak membeli atau mendapatkan apa jua pingat serta darjah kebesaran negeri daripada saluran yang tidak sah dan meragukan.
Tegas beliau, di negeri ini, pingat yang sah serta diiktiraf oleh kerajaan negeri hanya dianugerahkan oleh Sultan Perak, duli-duli sultan serta raja-raja yang sah mengikut undang-undang.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama mana-mana individu yang merasakan diri mereka telah terpedaya dengan penganugerahan palsu itu supaya tampil membuat laporan polis.
“Pihak polis sedang berusaha mengesan orang-orang yang telah menerima pingat dan darjah kebesaran negeri secara tidak sah untuk siasatan.
“Oleh itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali terlibat dalam kegiatan ini bagi mengelakkan daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.