KOTA BHARU 7 Feb. – Pihak berkuasa didesak mengambil tindakan sewajarnya terhadap kehadiran van penumpang dari Thailand yang dilihat terus bermaharajalela ‘melanggar’ kawasan sempadan termasuk dikesan menghantar penumpang sehingga ke Kuala Lumpur.
Pengerusi Majlis Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, isu tersebut bukan perkara baharu, sebaliknya berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu, namun gagal ditangani sepenuhnya oleh pihak berkuasa.
Katanya, berdasarkan aduan oleh Persatuan Pemandu Kereta Sewa Kelantan, perkara itu menjejaskan periuk nasi kira-kira 300 pemandu kereta sewa di sekitar sempadan negeri ini dan Thailand terutama di Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.
“Van itu menghantar penumpang ke seluruh negeri ini, malah kita menerima laporan ada yang berani menghantar penumpang dari Thailand ke Kuala Lumpur atau mengambil penumpang dari Kuala Lumpur ke Thailand.
“Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku jika penguatkuasaan undang-undang dijalankan dengan lebih ketat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Malam Majlis NGO Kelantan Bersama Pengamal Media, di sini semalam.
Yang turut hadir Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim, Zailani Abdul Rahman.
Sementara itu, wakil Persatuan Pemandu Kereta Sewa Kelantan, Muhamad Shukri Ali memberitahu, van tersebut yang boleh memuatkan 13 hingga 15 penumpang mampu mengaut pendapatan bersih sehingga RM1,000 untuk satu perjalanan.
“Mereka sewenang-wenangnya melanggar had dibenarkan iaitu sehingga dua kilometer dari sempadan.
“Perkara sebaliknya berlaku apabila kereta sewa kita mahu menghantar penumpang ke Thailand, pihak berkuasa mereka awal-awal lagi sudah menyekat meminta kita segera menurunkan penumpang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berharap kerjasama antara pihaknya dengan pengamal media dapat diteruskan dan diperhebat selepas Zailani dilantik menjadi Presiden Kemudi yang baharu sejak pertengahan bulan lalu. – Utusan