Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Guru Didenda RM4,000 Hasilkan Terbitan Hasutan

$
0
0

Mahkamah1

 

KUALA LUMPUR: Seorang guru didenda RM4,000 selepas dia didapati bersalah dengan menerbitkan penerbitan menghasut di laman facebook mengenai penganut agama Hindu pada perayaan Thaipusam, tahun lalu.

Tertuduh, Hidayat Mohamed, 36, dijatuhkan hukuman oleh Hakim Tasnim Abu Bakar di Mahkamah Sesyen Selayang selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Hidayat menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh yang kelihatan tenang sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman itu, membayar denda tersebut.

Hidayat yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak berniat untuk menghina agama lain.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam memandangkan tertuduh menerbitkan penerbitan yang boleh menggugat keamanan negara apabila menyentuh isu agama melibatkan sambutan Thaipusam.

“Tertuduh sepatutnya lebih berhati-hati dan sensitif apabila menulis (penerbitan) di laman Facebook agar tidak menyentuh sensitiviti agama lain.

“Hukuman yang bakal dijatuhkan ini penting kerana ia mencerminkan mahkamah memandang serius kesalahan ini selain dapat memberi amaran kepada masyarakat awam bahawa kesalahan seperti ini tidak dibenarkan oleh undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Hidayat didakwa menerbitkan penerbitan menghasut melalui satu kenyataan di laman facebook di TH 45A, Ariza Garden Villa, Taman Raintree, Batu Caves di sini pada 11.13 pagi, 17 Jan 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082