KANGAR: Pasukan Petugas Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Perlis berjaya memberkas empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian di pusat internet dan kecurian motosikal.
Menurut Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail, polis tekah menahan tiga remaja berusia 12, 16 dan 18 tahun yang terlibat dalam kes kecurian di lima unit komputer dan tiga unit Play Station II di sebuah pusat internet di Arau.
Jelas beliau, pihaknya menerima maklumat setelah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di pusat internet tersebut.
Kesemua mereka berjaya dikesan setelah pihak polis menyerbu rumah salah seorang suspek yang terlibat dan merampas barang curi berkenaan.
“Ketiga-tiga mereka ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 31 tahun, manakala seorang lagi suspek masih bebas,” katanya.
Manakala seorang lagi suspek berumur 15 tahun yang tidak bersekolah antara yang ditahan bersama 27 lagi suspek lelaki berumur hingga 43 tahun selepas mereka disyaki terlibat dalam kes curi lima buah motosikal, enam rangka motosikal pelbagai jenis, satu enjin motosikal dan pelbagai jenis komponen motosikal.
Dalam tangkapan yang dibuat ketika operasi ‘Op Lejang’ itu, lapan daripada lelaki yang ditahan itu turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Shafie berkata mereka melakukan urusan jual beli (motosikal dan komponen motosikal) di sekitar Perlis dan Kedah pada harga RM600 hingga RM700 bagi sebuah motosikal yang lengkap.
“Susulan penahanan 28 lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan ini polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 24 kes curi motosikal di sekitar Kangar, Arau dan Padang Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di sini, hari ini.