SHAH ALAM: Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan berhubung kes pertikaian hak penjagaan anak kepada wanita beragama Hindu, S Deepa, esok.
Deepa memfailkan hak penjagaan anak selepas bekas suaminya yang merupakan seorang mualaf, Izwan Abdullah, menukar agama dua anak mereka; Sharmila (Nurul Nabila), kini berusia 11 tahun dan Mithran (Nabil), 8, kepada Islam.
Peguam yang mewakili Izwan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Mahkamah Persekutuan memaklumkan mengenai tarikh penghakiman awal minggu ini.
Keputusan mahkamah tertinggi itu dijangka menarik minat orang ramai termasuk pengamal undang-undang kerana ia akan memberi kesan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, dalam kes sama melibatkan M. Indira Gandhi, yang perkara berhubung penukaran agama mesti didengar di Mahkamah Syariah.
Panel lima hakim diketuai Tan Sri Md Raus Sharif, yang juga presiden Mahkamah Rayuan, mendengar penghujahan daripada peguam Deepa dan Izwan pada 25 Jun tahun lepas.
Pada 7 April, 2014, Mahkamah Tinggi Seremban memberikan hak penjagaan dua anak pasangan itu kepada Deepa.
Keputusan itu mengatasi perintah Mahkamah Syariah pada April 2012 yang memberikan hak penjagaan kepada Izwan.
Tetapi, dua hari kemudian, Izwan menculik Mithran dari rumah Deepa di Jelebu dan menjaganya sejak itu.
Deepa kemudian mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi pada 21 Mei 2014 bagi memerintahkan polis mencari Izwan dan Mithran.
Pada 17 Disember 2014, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan anak-anak kepada Deepa.