KUANTAN – Empat orang maut manakala dua lagi parah setelah dua buah kereta bertembung di Km 138.8 Jalan Kuantan-Segamat awal tengah malam tadi.
Yang maut ialah pemandu kereta Perodua Kancil iaitu Foo Kam Long, 45, dan penumpangnya Salamiah Ating, 33, dan Foo Wei Quan, 10, kesemuanya dari Rompin.
Seorang lagi dikenali sebagai Muhamad Sharil Sabri, 23, dari Tumpat yang menumpang kereta Proton Saga.
Mangsa yang parah pula ialah pemandu kereta Proton Saga berkenaan Mohamad Zareqh Emeer Mohd Zainudin, 23, dan penumpang belakang kereta Perodua Kancil yang dikenali sebagai Foo Weng Ee, 8.
Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata kemalangan berlaku pada pukul 12.45 tengah malam apabila kereta yang dipandu Mohamad Zareqh dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh lalu bertembung dengan kereta yang dipandu Kam Long.
Kereta yang dipandu Mohamad Zareqh yang berasal dari Wakaf Baharu, Kelantan dilapor dalam perjalanan dari arah Segamat menghala arah Kuantan.
Muhammad Aidil Roneh berkata Kam Long, Salamiah dan Muhamad Sharil meninggal di tempat kejadian manakala Wei Quan ketika mendapat rawatan di Hospital Muadzam Shah. – BERNAMA