BATU GAJAH: Sepasang kekasih ditahan pihak berkuasa di sebuah rumah di Taman Ipoh dekat sini setelah didapati terlibat dalam enam kes pecah rumah di sekitar Batu Gajah dan Ipoh.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohd Nasri Omar berkata, suspek lelaki berumur 31 tahun dan teman wanitanya berusia 34 tahun itu ditahan ketika polis menyiasat satu kes pecah rumah serta kehilangan kereta membabitkan seorang guru di Pusing di sini 3 Feb lepas.
Pasangan itu ditahan kira-kira 11 pagi pada Ahad bersama beberapa barangan curi termasuk kereta Nissan Almera, dua komputer riba dan tujuh telefon bimbit pelbagai jenama ditemui.
“Kereta Nissan Almera milik guru itu ditemui di dalam ladang kelapa sawit di Tanjung Rambutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di sini, hari ini.
Mohd Nasri berkata pasangan yang berasal dari Ipoh itu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu pecah rumah serta dadah dan aktif menjalankan kegiatan pecah rumah hampir 10 tahun.
“Suspek lelaki pernah masuk penjara kerana terlibat dengan kes pecah rumah. Saya mencadangkan suspek ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sekiranya masih melakukan kegiatan ini,” katanya.