KUALA LUMPUR: Seorang anggota komando yang didakwa atas pertuduhan memiliki sehelai kemeja-T yang mempunyai simbol berkaitan dengan kumpulan pengganas IS mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd Abu Haliff Shah Abu Bakar, 29, bagaimanapun meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Tertuduh yang berkhidmat di Kem Sungai Udang, Melaka, dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kampung Baru, Mukim Lambor Kiri, Bota, pada kira-kira 1.30 tengah hari, 12 Nov tahun lepas.
Dia kini didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, dia akan dihukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, dan boleh dilucut hak bagi mana-mana item terbabit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin manakala tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes dan M. Shangeeta.
Hakim kemudiannya menetapkan 9 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.