KUALA LUMPUR: Satu sindiket pengedaran ganja dipercayai terbesar dalam negara tumpas dengan penahanan seorang lelaki dan 1,208 ketul ganja mampat seberat 1,200 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.2 juta dirampas dalam serbuan di Subang Jaya dan Sungai Petani, Sabtu dan Ahad lalu.
Kegiatan itu terbongkar selepas polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik Polis Diraja Malaysia (STING) menahan seorang lelaki bersama 360 ketul ganja mampat yang ditemui dalam kereta dan rumahnya pada jam 3 petang, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata susulan soal siasat ke atas suspek berusia 38 tahun itu, polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah yang dijadikan stor penyimpanan bahan terlarang itu.
“Dalam serbuan kira-kira jam 1.40 pagi (Ahad) itu, kita menemui 848 lagi ketulan ganja mampat seberat 843 kg dalam rumah berkenaan. “Rampasan ini adalah ini rampasan ganja yang terbesar pernah kita lakukan dalam sejarah negara,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata, menerusi perkiraan dilakukan, jumlah dadah yang dirampas diumpamakan boleh digunakan oleh 400,000 penagih dadah seluruh negara. Katanya, dadah berkenaan dipercayai diseludup masuk menerusi jalan laut dari negara jiran di utara tanah air.-BH Online