Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Polis Tahan 28 Penagih Dadah

$
0
0

image (1)

 

KEMAMAN – Seramai 28 penagih ditangkap dan sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM850 dirampas pihak polis serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mengepung sebuah port dadah di Bukit Blok H, Seri Bandi dalam Ops Sarang Bersepadu yang dijalankan kelmarin.

Operasi selama 11 jam itu dilakukan dua pegawai dan 10 anggota polis serta lima anggota AADK Kemaman diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah.

Polis dan AADK menyusup masuk ke port baru diwujudkan itu seawal jam 4 pagi bagi mengelakkan kehadiran mereka disedari, sebelum menangkap semua 28 lelaki yang memasuki port itu sehingga operasi selesai pada jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, semua lelaki berusia antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka adalah penganggur dan buruh yang berasal dari Seri Bandi serta kawasan sekitar seperti Payoh dan Ibok.

“Dengan penahanan semua suspek, kita berjaya merampas sembilan tiub straw mengandungi serbuk putih dipercayai heroin dan satu paket ketulan kristal disyaki syabu, yang dianggarkan bernilai RM850,” katanya.

Menurutnya, daripada semua suspek yang ditangkap, lima kes berkait dengan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, serta dua kes gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan menggunakan dokumen pengenalan diri milik orang lain.

Satu kes berkait waran tangkap dikeluarkan kerana lari dari jaminan mahkamah dan satu kes langgar syarat bawah Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, manakala selebihnya mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) APD (R&P) 1983.

Mohd Said memberitahu, dalam operasi dijalankan serentak di seluruh negara itu, pihaknya turut merampas sebuah motosikal Honda EX5 Dream yang merupakan motosikal curi.

“Kira-kira jam 7.30 pagi, kita sedari kehadiran seorang lelaki dipercayai tokan (pengedar dadah). Suspek dikejar polis dan anggota AADK, namun dia berjaya meloloskan diri.

“Bagaimanapun, motosikal dinaikinya berjaya kita rampas. Hasil pemeriksaan mendapati motosikal dikehendaki kerana dilaporkan hilang di Gebeng, Pahang sebelum ini,” katanya.

Katanya, susulan itu, semua tiga khemah yang didirikan di situ diruntuhkan bagi memastikan kawasan itu tidak lagi jadi sarang melepaskan gian dadah.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082