IPOH – Kastam Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras apabila merampas 5,733,600 batang rokok dan 1,032 liter minuman keras pelbagai jenama di Melaka, Rabu minggu lalu.
Intipan selama sebulan itu berjaya menahan dua pemandu lori yang cuba melarikan diri di Lebuh AMH, Kampung Ladang dan Taman Peringgit Jaya kira-kira jam 7 pagi.
Pengarahnya, Datuk Awai Mamat berkata, rampasan bernilai RM627,924 itu membabitkan cukai sebanyak RM3.384 juta.
“Dua pasukan Bahagian Penguatkuasaan Teluk Intan dengan tujuh anggota dan dua kenderaan jabatan membuat pemantauan ke atas dua lori yang disyaki membawa barang-barang seludup untuk diedarkan ke kawasan Muar, Shah Alam dan Melaka.
“Anggota kami turut menerima ancaman apabila seorang pemandu berusia 30-an bertindak agresif dengan melanggar kenderaan anggota selain dikepung sekumpulan tonto namun, anggota tidak cedera dalam kejadian itu,” katanya pada sidang media di Bahagian Penguatkuasaan Kastam Negeri, semalam.
Beliau berkata, operasi pertama menahan lori membawa 300 peti membawa muatan rokok putih pelbagai jenama membabitkan cukai sejumlah RM1,519,920 di Kampung Ladang.
Operasi kedua pula berjaya menahan sebuah lori di Taman Peringgit Jaya kira-kira jam 8.30 pagi. Pemeriksaan pada lori mendapati minuman keras berkenaan disorok antara 222 peti yang mengandungi rokok.
“Modus operandi sindiket ini adalah barang-barang yang diseludup dibawa oleh lori bertutup penuh dan dikawal oleh tonto sepanjang perjalanan. Setiap lori diikuti tonto di bahagian hadapan dan belakang,” katanya.
Awai berkata, kedua-dua pemandu lori berkenaan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barang larangan.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan Perak di talian 05-5272010 atau talian bebas tol kastam 1-800-88-8855.