PUTRAJAYA: Lebih 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen di IOI City Mall di sini malam tadi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat, berkata operasi yang disertai kira-kira 120 pegawai dan anggota imigresen memeriksa lebih 150 premis termasuk restoran makanan segera di pusat membeli-belah itu.
“Menerusi operasi ini kita memeriksa lebih 500 pekerja asing sebelum menahan lebih 200 orang yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, menyalahgunakan pas lawatan sosial serta pas atau permit mereka tamat tempoh.
“Kesemua mereka terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar berusia antara 25 hingga 45 tahun ini akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
“Jika didapati melakukan kesalahan melanggar undang-undang negara ini, tindakan usir ke negara asal mereka akan dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.- BH Online