Seramai 64 lagi wanita dilaporkan menjadi mangsa penipuan sindiket Love Scam dengan kerugian RM1.7 juta sejak 5 Mac lalu sehingga semalam.
Kebanyakan mangsa yang ditipu dalam tempoh 11 hari itu adalah wanita tempatan.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, berdasarkan laporan, Selangor mencatatkan jumlah kes paling tinggi apabila sebanyak 20 wanita menjadi mangsa dengan kerugian RM384,170.
Menurut beliau, turut mencatatkan jumlah kes tertinggi adalah Kuala Lumpur apabila sebanyak 11 wanita telah ditipu sindiket ini dengan kerugian RM695,568.
“Perak pula merekodkan sebanyak lapan kes dengan kerugian sebanyak RM174,750 diikuti Johor iaitu enam kes dengan kerugian RM66,700.
“Setakat ini, masih tiada tangkapan dilakukan namun pihak kita sama sekali tidak akan berhenti melakukan risikan dan operasi bagi mengesan mereka yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Roslan memberitahu, statistik terbaharu ini jelas membuktikan masih ramai wanita tidak mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian yang dilaporkan sebelum ini malah terus menjadi mangsa.
“Dalam tempoh sehari, sekurang-kurangnya sebanyak RM20,000 sehingga RM30,000 kerugian dilaporkan melibatkan seorang mangsa.
“Bayangkan, jika lebih ramai wanita masih menjadi mangsa sindiket ini, berjuta-juta ringgit mereka peroleh hanya dengan menipu,” ujarnya. – Utusan Online