KUALA LUMPUR: Seorang wanita dan empat cucunya berdepan detik cemas selepas rumah mereka dipecah masuk dua lelaki bersenjatakan pistol elektrik dalam kejadian di Taman Teratai Mewah, Setapak, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu turut menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM30,000 selepas pelbagai barang kemas dilarikan penjenayah.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata suspek dipercayai memecah masuk ke rumah berkenaan dengan cara mengumpil pintu hadapan dan mengacukan pistol elektrik sebelum mengarahkan semua mangsa masuk ke bilik.
“Suspek mengikat tangan wanita berkenaan dan mengarahkan cucunya supaya memandang keluar. Suspek turut mengugut akan merogol mangsa sekiranya melawan.
“Suspek kemudian menggeledah rumah mangsa dan mengambil 10 utas rantai emas, tujuh bentuk cincin, tujuh utas gelang, kad kredit, tablet, komputer riba, telefon bimbit, peti simpanan serta wang tunai RM4,000 dengan nilai kerugian keseluruhan dianggarkan RM30,000,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Mohamad Roy berkata, siasatan polis di lokasi kejadian tidak menemui kesan cap jari dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- BH Online