SUASANA pilu menyelubungi bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) semalam apabila anggota keluarga menguruskan mayat dua beradik yang maut dipercayai akibat disembelih ibu kandung sendiri di Sungai Petani, semalam.
Bapa mangsa, Tee Choi Peng, 36, nenek, Choo Kah Boy, 53, serta datuk mangsa, Saw Weng Chon,60, tiba di HSB kira-kira pukul 1 tengah hari ini dan enggan memberi sebarang kenyataan kerana terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa Tee Cong Ming, 5 dan Tee Cong Shern, 3.
Turut kelihatan di kawasan itu ialah ahli-ahli sukarelawan Buddhist Tzu Chi yang membantu menenangkan emosi ahli keluarga mangsa serta melakukan upacara keagamaan di situ.
Weng Chon berkata, dia amat sedih dengan kematian dua orang cucunya itu dan tidak mahu diganggu pihak media.
“Saya tidak tahu apa-apa dan sibuk dengan urusan pengebumian cucu saya,” ujarnya sambil menangis di pekarangan bilik mayat di HSB di sini hari ini.
Sementara itu, Kah Boy ketika ditemui pula berkata, bapa kepada dua orang cucunya itu baru sahaja tiba dari Singapura pagi ini dan terus menguruskan mayat anak-anaknya di HSB.
Bagaimanapun ketika ditanya dengan lebih lanjut mengenai kejadian yang berlaku semalam, Kah Boy hanya mendiamkan diri lalu meninggalkan kawasan bilik mayat tersebut.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 petang semalam di sebuah rumah di Lorong 11 Taman Wira Indah Sungai Petani, mayat dua beradik itu ditemukan berlumuran darah oleh Weng Chon yang baru pulang dari berniaga di Pekan Lama Sungai Petani.
Dia mendapati kedua-dua cucunya terlentang secara bersebelahan dalam salah sebuah bilik di tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan.
Kedua-dua mereka dipercayai dibunuh oleh ibu kandung mereka sendiri yang berusia 35 tahun yang kini berada di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut kerana ibu mangsa turut mengelar pergelangan tangan sendiri dalam kejadian itu.