KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet untuk membuat pernyataan jelik melalui laman blog miliknya berhubung gesaan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, tiga bulan lalu.
Zaid, 64, yang juga seorang peguam, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh.
Dia sebagai orang yang kena saman (OKS) didakwa menggunakan aplikasi itu dan secara sedar membuat pernyataan yang jelik dalam blog miliknya, www.zaid.my/current-rally-behind-tun-dr-mahathir-mohamad/ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman di sini, kira-kira pukul 3.30 petang, 3 September lalu. Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Utusan Online