Jempol: Lima beranak disyaki terbabit dalam aktiviti penjualan air ketum ditahan polis dalam serbuan di rumah mereka di kawasan FELDA di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Jempolm Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, suami isteri berusia 55 tahun dan tiga anak lelaki mereka berusia 21 hingga 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.30 malam hasil maklumat awam dan risikan.
Menurutnya, dalam serbuan dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, tiga lelaki turut ditahan di rumah itu ketika sedang mendapatkan bekalan air ketum yang dijual keluarga terbabit dengan harga RM10 hingga RM15 sebotol.
“Hasil serbuan, kita merampas 24 botol mengandungi 35.5 liter air ketum dan 1.5 kilogram daun ketum yang belum diproses. Siasatan awal mendapati mereka memperoleh bekalan itu dari Pahang dan mula aktif menjual air ketum sejak dua minggu lalu.
“Semua lapan suspek yang ditahan dibawa ke IPD Jempol untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Bagaimanapun suami isteri terbabit dibebaskan dengan jamin semalam tetapi anak mereka direman tujuh hari,” katanya pada sidang media hari ini.-myMetro