Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

Bekas Pegawai BERNAS Didakwa Atas 6 Pertuduhan Rasuah RM73,000

$
0
0

image

 

ALOR SETAR: Bekas pegawai kanan Padi Beras Nasional (BERNAS) dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Alor Setar pagi ini atas enam pertuduhan rasuah berkaitan beras ST15 membabitkan nilai suapan RM73,000 pada 2013 dan 2014.

Tertuduh, Hassin Mad Zain, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Mengikut kertas pertuduhan, Hassin dituduh menerima rasuah bernilai RM9,000 melalui akaun peribadinya daripada pemilik perniagaan WH Awana Enterprise, Wan Helmy Wan Darus di Bank Islam cawangan Alor Setar, jam 1.38 petang 6 Ogos 2014 sebagai dorongan untuk mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 30 tan metrik.

Bagi lima lagi pertuduhan yang dibaca serentak, dia dituduh menerima rasuah daripada Pemilik Syarikat Berkat Zairul Enterprise Rusli Abdullah dari September 2013 hingga Januari 2014 sebagai dorongan untuk mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 40 tan metrik bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh menerima suapan sebanyak RM12,800 melalui akaun peribadinya di Bank Islam cawangan Guar Chempedak pada 11 September 2013.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menerima rasuah bernilai RM12,800 melalui akaun peribadi di Bank Islam cawangan Guar Chempedak pada 10 Oktober 2013.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menerima rasuah bernilai RM12,800 melalui akaun peribadinya di Bank Islam Alor Setar pada 8 November 2013.

Bagi pertuduhan keempat, dia dituduh menerima rasuah bernilai RM12,800 melalui akaun peribadinya di Bank Islam Alor Setar pada 5 Disember 2013 dan bagi pertuduhan terakhir, dia dituduh menerima rasuah bernilai RM12,800 melalui akaun peribadinya di Bank Islam Alor Setar pada 7 Januari 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM22,500 dan kes akan dibicara pada 26 April ini.-BH Online


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082