KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan pengarah syarikat adalah suspek terbaru ditahan, petang tadi berhubung siasatan kes penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta.
Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki, berkata dua lelaki berusia 41 dan 31 tahun itu ditahan pada jam 7 malam di Ibu Pejabat SPRM, selepas dipanggil memberi keterangan.
Pegawai berusia 41 tahun itu sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum berpindah ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kira-kira sebulan lalu.
“Mereka (suspek) akan dipohon reman untuk siasatan dan ketika penahanan dilakukan tiada sebarang rampasan,” katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.
Azam berkata, tempoh tahanan reman lelaki yang disyaki dalang sindiket itu bersama-sama enam yang ditahan sebelum ini akan disambung selepas tempoh tahanan reman mereka yang berakhir esok.
“Seorang wanita yang ditahan reman bersama-sama enam individu terbabit dijangka dibebaskan esok dengan jaminan,” katanya. Jumaat lalu, SPRM menahan sembilan orang, termasuk seorang setiausaha bahagian kementerian yang dikatakan menerima rasuah berjumlah RM20 juta.
Pegawai kanan berusia 56 tahun itu bersama-sama lapan individu ditahan, 17 Mac lalu, kerana disyaki mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.
Hasil penahanan itu, SPRM membekukan 69 akaun bernilai RM8.33 juta, dua rumah, 12 kenderaan mewah, pelbagai jenis barang kemas, jam tangan dan beg tangan untuk siasatan lanjut.-BH Online