Quantcast
Channel: Jenayah & Mahkamah – TV14
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082

PGA Berjaya Rampas 330,000 Liter Diesel Dalam Operasi

$
0
0

image

 

KUCHING: Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 330,000 liter minyak diesel bernilai RM445,500 yang disimpan tanpa permit sah di dalam dua kapal di jeti sebuah syarikat perkapalan di Sungai Nyigu, Bintulu kira-kira 650 kilometer dari sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA, Supt Tan Hiap Seng, berkata dalam operasi 12.50 tengah hari itu, anggota turut merampas dua buah kapal berkenaan masing-masing bernilai RM600,000 dan RM1.5 juta serta menahan dua lelaki warga tempatan berusia 26 dan 45 tahun yang juga penjaga kapal.

Operasi itu diketuai oleh ASP Zawi Awang, tujuh anggota 12 Batalion PGA dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bintulu.

“Ketika operasi, anggota Batalion 12 PGA bersama dua pegawai SPRM Bintulu telah membuat pemeriksaan ke atas dua buah kapal iaitu Maju Kertou dan kapal MT Sri Paknakhon yang sedang berlabuh di jeti berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati sejumlah 30,000 liter minyak diesel disembunyikan di dalam tangki kapal Maju Kertou, manakala kapal MT Sri Paknakhon menyembunyikan 300,000 liter minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tan berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua kapal itu tidak mempunyai permit untuk menyimpan minyak diesel.

“Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bintulu. Minyak diesel, kapal serta dua lelaki berkenaan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut,” katanya. – BERNAMA


Viewing all articles
Browse latest Browse all 2082