KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuching menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dengan menahan sepasang kekasih dan merampas dadah bernilai RM1.42 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Lapangan Terbang di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari itu, polis menahan lelaki berusia 46 tahun dan wanita berusia 25 tahun, selain merampas 18,806 pil ekstasi serta satu kilogram syabu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Abd Aziz Yusof, berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 31 Mac ini untuk siasatan lanjut.
“Polis turut menyita tiga kereta, barang kemas dan jam tangan Rolex milik suspek bernilai RM235,000.
“Suspek lelaki mempunyai lima kes jenayah berkaitan dadah sejak tahun 2010 dan baru enam bulan dibebaskan dari penjara,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.-BH Online