MELAKA: Sebuah pusat beli-belah di Peringgit, di sini, digemparkan dengan penemuan tulisan menyatakan ada empat bom akan meletup di pintu bilik tandas tingkat satu kompleks itu, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata sepasukan anggota polis dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan daripada pihak keselamatan pusat beli-belah berkenaan, jam 2.40 petang.
Beliau berkata, anggota daripada Unit Pemusnah Bom, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri serta pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah diarahkan melakukan siasatan.
“Siasatan awal mendapati, pengadu mendakwa kakitangan kompleks menemui nota tertera tulisan ‘There is 4 bombs that will explode’ di pintu tandas di tingkat satu.
“Selepas hampir tiga jam melakukan pemeriksaan di semua kawasan bangunan tiga tingkat itu didapati tiada sebarang objek yang mencurigakan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Shaikh Abdul Adzis berkata, pihaknya sudah mendapatkan keterangan daripada pengurusan kompleks terbabit, termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Kejadian ini boleh dianggap sebagai ancaman palsu dan kita kesal apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan berkenaan dan polis memberi amaran supaya menghentikan perbuatan tidak berfaedah itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah,” katanya.