KUCHING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang dan dipercayai dilarikan oleh dua individu tidak dikenali berhampiran Arked Plaza Merdeka, Jalan Astana di sini semalam telah ditemui dalam keadaan selamat dan dihantar pulang ke rumah keluarganya di Kampung Sungai Laruh di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, kanak-kanak yang dikenali sebagai Haiqal Haqimi Suhini, 7, telah dihantar pulang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ke rumah keluarga kanak-kanak tersebut.
“Ya, saya sahkan kanak-kanak lelaki itu telah ditemui dalam keadaan selamat dan dihantar ke rumah keluarganya kira-kira pukul 3 petang tadi,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Sebelum ini, Haiqal dilaporkan hilang selepas dipercayai dilarikan oleh seorang lelaki dan wanita yang tidak dikenali kira-kira pukul 1.45 petang semalam. – K! ONLINE