AYER KEROH – Gara-gara hendak berlagak memandu kenderaan mewah dan menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP), Februari lalu, seorang jurujual kereta dijatuhkan hukuman penjara selama 40 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Hukuman itu diputuskan Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik terhadap tertuduh Tan Sai Po, 40, dari Ipoh, Perak selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari sebutan semula kes semalam.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyamar sebagai pegawai polis dengan tujuan memperdaya seorang anggota polis, Ishak Abd Hamid di Pos Kem Komandan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada jam 4.50 petang, 20 Februari lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Goh Han Koon ketika rayuan memohon hukuman ringan diberikan terhadap anak guamnya yang sudah menyesal selain kesalahan dilakukan tidak melibatkan kerugian dan orang awam yang lain atau ugutan dan pemilikan uniform polis.
“Tertuduh dipercayai tertekan selepas ibu bapa meninggal dunia September lalu ditambah perniagaannya gagal. Malah ketika kejadian dia yang menggunakan kereta pinjam hanya nak berlagak.
“Saya percaya tertuduh sudah menyesal. Dia juga berkelakuan baik ketika ditahan malah selalu membantu warden mencuci lantai,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak ketika mengendalikan kes meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga orang awam supaya kesalahan sama tidak dilakukan.
Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua-dua belah pihak Mohd Asri kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama 40 hari bermula tarikh dia ditangkap iaitu pada 20 Februari lalu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh yang menaiki kereta jenis BMW bersama seorang wanita masuk ke kawasan IPK Melaka sebelum ditahan oleh anggota bertugas di Pos Kem Komandan IPK itu.
Tertuduh kemudian mengaku pegawai kanan polis kepada anggota polis di pos berkenaan, namun gagal menunjukkan kad kuasa apabila diminta berbuat demikian.-Sinar Online