BUTTERWORTH: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dipercayai dibunuh dalam sebuah rumah kongsi dekat Kampung Paya, Jalan Raja Uda, di sini, petang tadi.
Difahamkan, mayat mangsa ditemui majikannya yang datang ke rumahnya kira-kira jam 3.50 petang selepas wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu gagal dihubungi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam, berkata mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai, ditemui terbaring dengan dua kesan kelar di leher.
Beliau berkata, polis giat mengesan seorang lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, kita menahan tiga lelaki warga Bangladesh berusia 20 hingga 30-an yang juga teman serumah mangsa.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat,” katanya.-BH Online