SHAH ALAM – Bekas eksekutif jualan sebuah syarikat perkakasan elektrik dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, dua bulan dan 94 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas 47 tuduhan pecah amanah membabitkan barangan elektrik bernilai lebih RM800,000 tiga tahun lepas.
Hakim G. Ramesh menjatuhkan hukuman itu terhadap Brian Tiong Meng Hong, 35, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati telah melakukan pecah amanah iaitu dengan curangnya menyalahgunakan harta tersebut antaranya televisyen, mesin basuh, periuk, peti sejuk, kipas siling dan ketuhar. Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan di gudang Syarikat Panasonic Malaysia Sdn Bhd, Lot 2-53 & 2-55, Lion Industrial Park, Jalan SU 8, Phase 2, Seksyen 22 Off Persiaran Tengku Ampuan di sini, antara September 2012 dan Februari 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan sebatan dengan syarat notis rayuan difailkan hari ini dan diserahkan kepada mahkamah.
Selain itu, tertuduh yang kini bekerja sebagai penjual ikan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan mahkamah turut menaikkan wang jaminannya daripada RM10,000 kepada RM30,000 dengan seorang penjamin.
Tiong diwakili peguam Esther Jayaraja.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang bekas pengurus kewangan sebuah syarikat swasta dijatuhi hukuman penjara 11 tahun selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan wang syarikat berjumlah lebih RM1 juta, enam tahun lepas.
Tertuduh, Hazni Md Turee, 51, didakwa atas 11 kesalahan pecah amanah membabitkan RM433,000 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan lapan pertuduhan menyalahgunakan wang syarikat berjumlah RM639,000 di bawah Seksyen 409 Kanun sama.
Hakim Ramesh turut membenarkan permohonan tertuduh yang diwakili peguam Tina Ong untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan.
Beliau bagaimanapun menaikkan jumlah jaminan daripada RM40,000 kepada RM55,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan bagi kedua-dua prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Raimi Mohd Ramli. – Bernama