PUTRAJAYA: Seorang kontraktor syarikat penganjuran acara yang direman bagi membantu siasatan kes sindiket penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.
Lelaki berusia 34 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Difahamkan kontraktor itu dibebaskan selepas pihak SPRM melengkapkan siasatan terhadapnya berhubung kes terbabit.
Lelaki itu adalah individu terakhir yang dibebaskan daripada 10 individu yang ditahan reman berhubung kes berkenaan.