PELABUHAN KLANG: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 239,200 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai hampir RM250,000 dari sebuah sampan di Perairan Pantai Acheh dekat sini, awal pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin, berkata pasukannya menerima maklumat Unit Risikan Marin (URM), mengenai sebuah sampan yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan kira-kira jam 12.35 pagi.
Katanya, selepas intipan dibuat Unit Risikan PPM, pasukan berkenaan berjaya mengesan sebuah sampan dan beberapa individu sedang melakukan aktiviti pemunggahan barang.
Suspek yang menyedari kehadiran bot ronda PPM segera melarikan diri dengan memecut sampan ke tengah laut dan beberapa suspek lain yang berada di kawasan pantai turut melarikan diri dengan menaiki lori.
“Persekitaran yang gelap menyebabkan semua suspek berjaya melarikan diri dan gagal dikesan.
“Ketika menghampiri kawasan pemunggahan, PPM mendapati terdapat beberapa bungkusan yang mengandungi 1,206 karton rokok ditinggalkan di situ.
“Semua barang rampasan berkenaan dibawa pulang ke Markas Operasi PPM untuk tindakan selanjutnya dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan mengimport barang terlarang,” katanya.-BH Online