AMPANG JAYA – Seorang wanita yang mendalangi penipuan pakej umrah mengakibatkan kerugian sebanyak RM200,000 berjaya ditahan sepasukan polis di kawasan Ampang awal pagi tadi.
Wanita berusia 31 tahun itu dikatakan menipu 51 mangsa termasuk dua penyanyi tempatan iaitu Nubhan dan Firman.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, suspek itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3 pagi tadi,
Katanya, penangkapan dibuat susulan pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan ketua rombongan kepada 51 jemaah itu.
“Suspek dikatakan memperdayakan mangsa dengan janji akan menguruskan tiket penerbangan, tempat tinggal serta visa kepada jemaah yang ingin menunaikan umrah menerusi syarikatnya yang beroperasi di Ampang.
“Hasil siasatan juga mendapati suspek memperdayakan mangsa untuk menyerahkan sejumlah wang dengan alasan mahu menguruskan pakej umrah yang tidak wujud,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurutnya lagi, suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Hamzah juga menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu ke atas syarikat yang menawarkan dan mengendalikan pakej umrah dengan harga yang murah serta meragukan. – K! ONLINE