AMPANG: Seorang wanita yang hamil tujuh bulan didakwa di tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas 30 tuduhan menipu pakej umrah membabitkan kerugian RM166,300.
Rozaimenurhianti Ahmad Azmi, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pecahan tuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, Haslinda A Raof dan Mohamad Firdaus Sadina Ali.
Tertuduh didakwa memperdayakan Azrina Fakhrudin, 44, kononnya boleh menyediakan perkhidmatan berkenaan kepada 55 peserta, menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM166,300.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sekitar Ampang, antara 22 Oktober 2015 hingga 21 Mac lalu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, wanita berkenaan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh didenda. -BHOnline